KISAH DARIPADA HADIS RASULULLAH SAW
Abdullah Ibn Muslamah menceritakan kepada kami,telah mengkhabarkan kepada kami Isa Ibn Yunus daripada al-Akhdar Ibn Ajlan daripada Abu Bakar al-Hanafi daripada Anas bin Malik, bahawa datang seorang Ansar kepada Rasulullah SAW untuk meminta-minta daripada Baginda.
Lalu Baginda SAW bertanya:"Apakah ada di rumah kamu apa-apa ? ".Jawab seorang Ansar tadi : " Ada,iaitu kain hamparan yang kami pakai sebahagian dan kami bentangkan sebahagian dan sebiji bekas yang kami gunakan untuk minum air."Kata Rasulullah SAW : " Bawakan kepada ku kedua-dua barang itu."
Periwayat menceritakan lagi,lelaki itu pulang dan datang kembali membawa kedua-dua barang tersebut.Lalu Baginda mengambilnya dan bersabda kepada para sahabat: " Siapakah yang ingin membeli barangan ini?"Sahut seorang sahabat,"Saya sedia ambil kedua-dua barang itu dengan harga satu dirham ."
Baginda bertanya lagi:"Siapa yang sedia membeli dengan harga yang lebih daripada satu dirham ?"Baginda mengulang-ulangnya sebanyak dua atau tiga kali.Lalu sahut seorang sahabat:"Saya sedia membelinya dengan harga dua dirham."
Lalu Baginda menyerahkan kepadanya kedua-dua barangan tersebut,mengambil dua dirham sebagai harga barangan itu dan menyerahkannya kepada lelaki Ansar tadi,lalu Baginda bersabda :"Belilah makanan dengan dirham yang pertama tadi dan berikan kepada keluarga kamu,manakala dirham yang satu lagi kamu beli mata kapak dan bawakan mata kapak itu kepadaku."
Lelaki Ansar tadi melakukan apa yang diperintahkan dan membawa mata kapak kepada Rasulullah SAW .Baginda pun memperkuatkan mata kapak itu dengan kayu di tangan Baginda(sebagai pemegangnya) lalu bersabda:"Pergilah kamu dan carilah kayu api dan juallah kayu api itu.Dan jangan kamu bertemu denganku sehingga 15 hari lagi."
Lelaki Ansar itu berlalu pergi,lalu mula mengumpulkan kayu api dan kemudian menjualnya.(Setelah cukup 15 hari)lelaki Ansar itu datang berjumpa Rasulullah SAW dan dia telah untung sebanyak sepuluh dirham;yang mana dia telah menggunakan sebahagian dirham itu untuk membeli pakaian dan sebahagian yang lain membeli makanan.Maka Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:"Ini adalah lebih baik bagimu berbanding ( daripada perbuatan ) meminta-minta itu datang sebagai satu tanda ( titik-titik hitam ) di wajahmu pada hari kiamat."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan